04 June 2009

SSK Se-Malaya II: Dalam Sinar Harian (3 Jun 09)


Jaringan ICT Bantu Penternak Bumiputera Tingkat Ekonomi

KEBUN BARU – Gabungan beberapa ladang kambing yang terdapat di daerah ini dalam usaha membentuk satu kumpulan kecil memberi peluang kepada penternak bumiputera sama ada baru dan lama mendapat informasi berguna. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, teknologi maklumat hari ini memberi peluang kepada penternak muda untuk berkecimpung dalam dunia penternakan kambing.

Menurutnya, pelbagai cara dapat menarik minat penternak baru dan lama untuk terus mengusahakan penternakan sebagai salah satu punca rezeki selain memberi peluang kepada mereka berbudi dengan binatang ternakan.

“Selain itu, jaringan pengimport, pemasaran, pembekal dan penternak kambing ini memberi peluang kepada kumpulan ini mewujudkan strategi penternakan yang terbaik terutamanya kepada penternak baru.

“Difahamkan projek ini juga membekalkan baka kambing boer, jamnapari, katjang, feral dan kacukan dengan harga yang terbaik kepada penternak yang berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sepetang Santap Kambing Semalaya II, di Ladang Al Falah, Jalan Bangau, Batu 9, Kebun Baru dekat sini.

Menurut Ahmad Yunus, beliau menggalakkan golongan belia kampung menceburi bidang penternakan ini selain dapat menjana pendapatan yang lumayan.

Katanya, bagi membantu krisis ekonomi pada hari ini golongan belia disarankan agar melibatkan diri dengan aktiviti perladangan, pertanian dan penternakan seterusnya mampu memberi impak kepada pendapatan keluarga mereka.

“Pihak ADUN juga amat berbesar hati sekiranya program seumpama ini dapat membentuk sebuah rangkaian hebat dalam masyarakat setempat."

“Pemilihan kawasan dan teknologi terkini dalam penternakan juga membantu meningkatkan keupayaan penternak menghasilkan produk yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, penganjur program, wujudnya jaringan Kambing Malaya Network ini sebagai salah satu cara merapatkan hubungan baik dalam kalangan penternak kecil di daerah ini.

Katanya, jaringan ini juga membantu penternak kecil meningkatkan industri penternakan kambing selain menggalakkan mereka menambahkan pendapatan.

“Selain itu, konsep informasi melalui jaringan teknologi maklumat juga membantu meningkatkan ilmu dan pendedahan dalam bidang ini.

“Kerjasama masyarakat dan pemimpin setempat secara berterusan amat diharapkan dan mem bantu meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya.


* Untuk baca versi yang sama di SINAR HARIAN sila KLIK

No comments: